Ibu Ayna bekerja sebagai ‘tea-lady’ di pejabat Encik Badri melebihi 10 tahun. Encik Badri sendiri mengupah ibu Ayna untuk menjadi ‘confinement lady’ ketika isterinya bersalin anak sulung. Kini puteri Encik Badri telahpun berada di darjah 3. Nenek Ayna merupakan bidan kampung yang diiktiraf oleh kerajaan. Seingat Ayna, neneknya tidak pernah melakukan solat secara berbaring ataupun duduk melainkan ketika keuzuran pada hari-hari terakhir beliau. Jadi tidak hairanlah ibu Ayna mahir tentang perawatan sewaktu di dalam pantang bersalin.
“Orang perempuan kenalah kuat berpantang. Kalau urat-urat masuk angin, bila tua nanti kita juga yang susah. Sakit sini, lenguh sana,” Panjang lebar ngomel ibu Ayna.
Sebagai ibu tunggal, ibu Ayna kerap membuat kerja sambilan seperti mengambil upah menjahit tulang belut, membuat roti jala dan tapai nasi. Tapai nasi hendaklah disediakan sekurang-kurangnya 3 hari sebelum boleh dimakan. Ayna tidak pernah mendapat khabar berita daripada ayah kandungnya.
“Ini duit untuk membeli buku sekolah Ayna, Kak Idah,” Encik Badri amat mengambil berat kebajikan ramai pekerjanya.
“Tidak mengapa Encik Badri. Pihak sekolah memberikan buku pinjaman kepada Ayna,” Jawapan ibu Ayna ikhlas.
Ayna akan menduduki peperiksaan PMR di penghujung tahun. Ibu tentu berbangga jika keputusan Ayna amat bagus. Setidak-tidaknya Ayna berjaya membuktikan bahawa kejayaan milik sesiapa yang berusaha keras tanpa memandang status, latar belakang atau warna kulit.